PERJUANGAN DITERUSKAN, KEHIDUPAN
DIHAYATI
Terlebih
dahulu saya ingin mengajak sahabat-sahabat, khususnya para da`ie di luar sana, untuk
sentiasa bersyukur tidak terhingga pada Ilahi, yang telah menambah usia kepada kita
dari hari ke hari dengan terus selesa bernafas serta sihat wal`afiat. Terima
kasih juga di atas peluang dan ruang yang diberi kepada saya untuk mencoret
sedikit perkongsian.
Dengan
tajuk perjuangan diteruskan, kehidupan dihayati. Ada beberapa perkara yang
ingin saya sampaikan samaada secara tersurat dan tersirat. Sahabat-sahabat, antara
sedar atau tidak sudah lebih 1400 tahun Nabi
Muhammad meninggalkan kita. Sesuai juga andai saya katakan, antara sedar atau tidak
kita kini makin jauh meninggalkan sunnah dan perjuangan Baginda. Nikmat atau ujian yang diutuskan kepada kita, boleh
membuktikan adakah kita tergolong dalam mereka yang tetap meneruskan perjuangan
Rasulullah s.a.w atau sebaliknya. Berapa ramai saudara islam kita di luar sana
yang kini hanyut dalam sandiwara dunia, bergelumang dosa dan taksub dengan
ajakan nafsu. Mereka memerlukan bimbingan, dan kita tidak perlu bermimpi di
siang hari untuk mengharapkan diutusnya seorang Nabi bagi menyedarkan mereka,
kerana telah jelas dalil Nabi Muhammad adalah khataman nabiyyin iaitu penutup
kepada Nabi-Nabi. Justeru itu sedarlah sahabat-sahabat bangkitlah dari lena
yang panjang, bangun dan berdirilah bersama-sama mereka yang sentiasa
mencari peluang berusaha meneruskan perjuangan Rasulullah.
Tidak
saya nafikan mengajak manusia untuk mengenali Allah tidak sama dengan mengajak manusia
untuk percaya pada Allah. Hari ini kalau di tanya pada saudara Islam kita yang
bergelumang dengan maksiat sekalipun, apakah mereka tahu dan percaya adanya
Allah, tentu mereka akan menjawab kami tahu dan percaya. Tetapi apa yang mereka
lakukan seolah-olah Allah sudah tidak ada dalam kehidupan mereka. Mereka tidak
merasakan peranan Allah di dalam kehidupan atau dengan kata lain tidak patuh
kepada suruhan serta larangan Allah. Pada perasaan mereka sama sahaja samaada
Allah itu ada ataupun tiada. Sedangkan Allah itu Maha Berkuasa, Menghidupkan, Mematikan,
Menghukum, Mendengar, Melihat, yang memberikan nikmat, yang menurunkan rahmat,
yang mewujudkan apa saja di dunia ini mahupun di akhirat kelak, tidak ada
satu perkara hatta sebutir debu sekalipun yang wujud tanpa pengetahuan Allah.
Kita
perlu sentiasa berusaha mengajak mereka yang dalam kegelapan untuk sedar dan
kembali ke jalan yang benar, antara penyelesaian yang perlu di ambil serius
adalah pendedahan tentang ilmu aqidah dengan lebih meluas. Sejarah perjuangan
Rasulullah yang mungkin kita terlepas pandang, Baginda mengambil masa selama 13
tahun untuk menanamkan iman dan tauhid, dengan kata lain Allah yang Esa itu
diperkenalkan terlebih dahulu kepada umat Arab Jahiliah. Banyak program atau
aktiviti yang telah kita lakukan, selalunya kita mulakan dengan pendedahan mengenai
syariat terlebih dahulu, sedangkan dengan cara ini, mereka yang baru atau ingin kembali
menerima Islam, dapat saya tafsirkan, bukan lagi terima atau kembali secara
sukarela tetapi lebih kepada terpaksa, ini kerana mereka telah terikat dengan
peraturan halal, haram dll. Contoh solat, kita perlu menanam dalam jiwa
anak-anak tentang kepada siapa dan kenapa kita solat, kemudian barulah kita
mengajar tentang bagaimana cara, mengenai sah serta batal solat dan sebagainya,
wallahua`lam.
Walaubagaimanapun
dalam apa jua keadaan kita perlu sabar
dan tidak berputus asa dengan halangan-halangan yang sedikit berbanding apa
yang di lalui oleh Rasulullah. Baginda memulakan perjuangan dakwah di kala
ramai manusia tidak tahu dan tidak percaya tentang kewujudan Allah,
Baginda mengenalkan bahawa Allah adalah
Tuhan manusia. Sebelum itu orang tidak kenal akhirat, tidak mengetahui tentang malaikat, syurga, neraka, dll, maka Rasulullah
s.a.w datang untuk mengenalkannya kepada manusia, dan Rasulullah telah berjaya menanamkan aqidah
serta penghayatan kehidupan yang begitu mantap di hati para sahabat sehingga
bangsa arab jahiliah berubah dan dipilih oleh Allah untuk tugasan mengembangkan
serta membina empayar Islam pada kali
pertama.
Kita juga perlu yakin dalam
menjadikan al-Quran dan Sunnah Rasulullah sebagai pegangan, sebagaimana sabda
Baginda:
(تركت فيكم
أمرين ما إن تمسكتم بهما لن تضلوا أبدا كتاب الله وسنة رسوله)
Maksudnya: “Ku tinggalkan untuk
kamu dua perkara (pusaka), tidaklah kamu akan tersesat selama-lamanya, selagi
kamu masih berpegang kepada keduanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.
Akhir
kalam, moga ada sedikit kesedaran pada saya dalam menulis artikel ini dan juga
kepada sahabat-sahabat yang sudi meluangkan masa membaca. Kita perlu yakin
dengan janji-Nya tentang kebangkitan umat islam buat kali kedua, namun usaha
yang perlu dilakukan saya percaya tiada jalan lain bagi umat Islam, selain
bermula daripada mempertingkatkan lagi usaha dalam mendedahkan serta menanamkan
penghayatan aqidah kepada umat sejagat, bukan sekadar hafalan ilmu, tetapi penghayatan aqidah yang benar-benar meresap kedalam hati, hingga lahirnya cinta
dan taqwa pada Allah secara luar biasa.
Itulah yang dapat menjadi pemangkin utama kepada umat Islam dalam membangunkan
ummah untuk kali kedua. Segala yang baik adalah ilham dari Allah s.w.t , segala
kelemahan dari diri yang dhaif ini. Selamat beramal.
~::Kalaulah Rasulullah Masih Bersama-sama Kita::~


No comments:
Post a Comment