Tuesday, February 12, 2013

Hadir Kesucian Islam


Kisah Keperibadian Islam
Seorang pekedai Muslim cuba dirompak. Lantas, sepertimana tindakan refleks yang biasa, dia mengeluarkan senjata untuk mempertahankan dirinya. Mendapati perompak itu tidak dapat mengancam keselamatannya, perasaan takut berbaur marahnya berubah menjadi simpati apabila melihat perompak tadi mulai menangis. Perompak itu mula merayu supaya diberi belas kasihan. Dia menyatakan bahawa dia tidak mempunyai pekerjaan dan berada di dalam keadaan terlalu lapar. Simpati tetapi masih berhati-hati dengan situasi tersebut, si pekedai tadi memaafkan perbuatan lelaki itu. Dia mencapai sedikit wang di dalam mesin tunai kedai miliknya yang cuba dirompak tadi. Jika tadi, wang itu cuba diperolehi dengan cara paksa oleh si perompak, tetapi kini wang yang mahu diperolehinya dengan cara kekerasan, diberikan oleh bakal mangsanya atas rasa belas kepada manusia lain yang menghadapi masalah. Tidak cukup dengan wang, pekedai Muslim tersebut kemudiannya mengambil sekeping roti lalu menghulurkannya kepada lelaki tersebut bagi mengisi perutnya yang lapar. Terkejut dengan perbuatan baik yang menjadi balasan kepada perlakuan tidak elok yang cuba dilakukannya ke atas pekedai tadi, si lelaki tersebut tidak meninggalkan kedai tersebut. Dengan tidak semena-mena, dia menyatakan kepada pekedai tersebut bahawa dia mahu memeluk agama Islam. Kebaikan yang ditunjukkan pekedai tadi merupakan sesuatu yang diluar batasan akal lojik pada pemikiran lelaki yang pada mulanya mahu merompak kedai itu. Tidak perlu berbuih mulut mengikuti rombongan ceramah demi mengembang pecahan Islam politik, dengan hanya menunjukkan rasa belas dan sekeping roti, seorang bukan Islam yang pada awalnya merupakan satu ancaman kepada sistem sosial masyarakatnya, berubah hati dan tertarik lalu lantas mengucapkan dua kalimah syahadah di dalam kedai di mana dia cuba melakukan kejahatan di atas niat awalnya. Dia melangkah masuk ke kedai tersebut sebagai seorang yang cuba melakukan kejahatan, tetapi keluar dari kedai itu seputih bayi yang baru lahir tanpa sebarang calitan dosa. Tidak perlu mengisi borang parti politik tertentu untuk menunjukkan diri sebagai pejuang yang memperjuangkan Islam, cukup hanya bertindak serta berakhlak sepertimana seorang Muslim harus bertindak dan berakhlak di dalam setiap sudut dan situasi yang dihadapi dalam kehidupan. Kisah yang diceritakan itu merupakan sesuatu yang benar berlaku dan dirakamkan di dalam CCTV kedai terbabit. Tak perlu mempertikaikan keIslaman lelaki yang pada mulanya cuba merompak kedai itu. Lafaz Syahadah yang diucapkan itu sudah cukup. Malah di dalam jihad sekalipun, ucapan syahadah musuh tidak akan dipertikaikan. Perhatikan hadis berikut:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. bersabda, “Isa anak Maryam melihat seorang lelaki mencuri, lalu dikatakannya kepada lelaki tersebut. “Engkau mencuri?” Kata lelaki tersebut ; “Tidak, demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia!” Kata Isa: “Saya percaya kepada Allah dan saya dustakan mata saya.” (Sahih Bukhary.)

Sama seperti apa yang dinasihatkan Rasulullah di dalam sebuah hadis mengenai situasi di dalam peperangan di mana para sahabat bertanyakan kepada baginda, apa yang perlu mereka lakukan jika musuh mereka yang hampir ditewaskan dan hampir dibunuh itu mengucapkan persaksian terhadap Allah dan RasulNya? Lalu baginda menyatakan kepada mereka supaya dihentikan niat untuk membunuh orang tersebut. Lalu, para sahabat mempersoalkan keimanan yang dipamerkan itu mungkin di atas dasar untuk melepaskan diri dari terbunuh, tetapi Rasulullah s.a.w. tetap bertegas melarang mereka membunuh mana-mana musuh yang melakukan persaksian sedemikian. Ia dinyatakan di dalam sebuah hadis dari Miqdad r.a. :


Dari Miqdad bin Amr al Kindi r.a., dia bertanya kepada Rasulullah s.a.w. "Bagaimana pendapat tuan jika saya menemui seorang dikalangan orang-orang kafir, lalu kami bertempur? Lalu dipukulnya salah satu tangan  saya dengan pedang sehingga terputus. Kemudian dia bersembunyi dari saya pada sebatang pohon,lalu dia berkata : "Saya Islam kerana Allah." Bolehkah saya membunuhnya wahai Rasulullah, sesudah dia mengucapkan yang demikian itu?" Rasulullah s.a.w. bersabda : "Jangan engkau bunuh dia!", Kata Miqdad : "Wahai Rasulullah! Dia mengucapkan yang demikian sesudah salah satu tangan saya dipotongnya," Rasulullah s.a.w. bersabda : "Janganlah engkau bunuh! Jika engkau bunuh, maka keadaannya sama dengan keadaan engkau sebelumnya (sebelum Islam) dan keadaan engkau sama dengan dia sebelum dia mengucapkan kalimah yang diucapkannya itu (semasa dia berkeadaan kafir)," (Hadis Riwayat Bukhari)

Begitu juga dengan sebuah hadis yang dicatatkan di dalam Sahih Muslim seperti di bawah ini:

Dari Usamah bin Zaid bin Haritsah r.a. katanya : “Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami pergi berperang ke Huraqah, termasuk perkampungan Juhainah. Kami menyerang mereka pada waktu subuh dan dapat memukul mundur mereka. Aku dan seorang sahabat dari golongan Ansar dapat mengejar seorang perajurit mereka. Ketika perajurit itu kami todong, tiba-tiba dia mengucapkan kalimah, “La ilaha illallah” (Tiada Tuhan melainkan Allah). Sahabatku orang Ansar serta merta menarik senjatanya sedangkan aku terus sahaja menikamkan panahku kepada perajurit itu sehingga dia tewas. Kata Usamah melanjutkan, “Ketika kami tiba kembali ke Madinah, berita mengenai peristiwa itu telah sampai ke pengetahuan Nabi s.a.w.,” Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku, “Hai Usamah! Kenapa engkau membunuh perajurit itu padahal dia telah mengucapkan La ilaha illallah?” jawabku, “Dia mengucapkannya kerana hendak melindungi diri dari senjata aku.” Tanya aku. “Kenapa kamu membunuhnya setelah dia mengucapkan La ilaha illallah?” Rasulullah sentiasa mengulang-ulangkan pertanyaan itu sehinggakan aku merasakan bahawa aku belum masuk Islam sebelum hari itu.” (Hadis Riwayat Muslim).

Saiful Ahmad

Sambungan ..