Kisah Keperibadian Islam
Seorang
pekedai Muslim cuba dirompak. Lantas, sepertimana tindakan refleks yang biasa,
dia mengeluarkan senjata untuk mempertahankan dirinya. Mendapati perompak itu
tidak dapat mengancam keselamatannya, perasaan takut berbaur marahnya berubah
menjadi simpati apabila melihat perompak tadi mulai menangis. Perompak itu mula
merayu supaya diberi belas kasihan. Dia menyatakan bahawa dia tidak mempunyai
pekerjaan dan berada di dalam keadaan terlalu lapar. Simpati tetapi masih
berhati-hati dengan situasi tersebut, si pekedai tadi memaafkan perbuatan
lelaki itu. Dia mencapai sedikit wang di dalam mesin tunai kedai miliknya yang
cuba dirompak tadi. Jika tadi, wang itu cuba diperolehi dengan cara paksa oleh
si perompak, tetapi kini wang yang mahu diperolehinya dengan cara kekerasan,
diberikan oleh bakal mangsanya atas rasa belas kepada manusia lain yang
menghadapi masalah. Tidak cukup dengan wang, pekedai Muslim
tersebut kemudiannya mengambil sekeping roti lalu menghulurkannya kepada lelaki
tersebut bagi mengisi perutnya yang lapar. Terkejut dengan perbuatan baik yang
menjadi balasan kepada perlakuan tidak elok yang cuba dilakukannya ke atas
pekedai tadi, si lelaki tersebut tidak meninggalkan kedai tersebut. Dengan
tidak semena-mena, dia menyatakan kepada pekedai tersebut bahawa dia mahu
memeluk agama Islam. Kebaikan yang ditunjukkan pekedai tadi merupakan sesuatu yang
diluar batasan akal lojik pada pemikiran lelaki yang pada mulanya mahu merompak
kedai itu. Tidak perlu berbuih mulut mengikuti rombongan ceramah demi
mengembang pecahan Islam politik, dengan hanya menunjukkan rasa belas dan
sekeping roti, seorang bukan Islam yang pada awalnya merupakan satu ancaman
kepada sistem sosial masyarakatnya, berubah hati dan tertarik lalu lantas
mengucapkan dua kalimah syahadah di dalam kedai di mana dia cuba melakukan
kejahatan di atas niat awalnya. Dia melangkah masuk ke kedai tersebut sebagai
seorang yang cuba melakukan kejahatan, tetapi keluar dari kedai itu seputih
bayi yang baru lahir tanpa sebarang calitan dosa. Tidak perlu mengisi borang
parti politik tertentu untuk menunjukkan diri sebagai pejuang yang
memperjuangkan Islam, cukup hanya bertindak serta berakhlak sepertimana seorang
Muslim harus bertindak dan berakhlak di dalam setiap sudut dan situasi yang
dihadapi dalam kehidupan. Kisah yang diceritakan itu merupakan sesuatu yang
benar berlaku dan dirakamkan di dalam CCTV kedai terbabit. Tak perlu
mempertikaikan keIslaman lelaki yang pada mulanya cuba merompak kedai itu.
Lafaz Syahadah yang diucapkan itu sudah cukup. Malah di dalam jihad sekalipun,
ucapan syahadah musuh tidak akan dipertikaikan. Perhatikan hadis berikut:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi
s.a.w. bersabda, “Isa anak Maryam melihat seorang lelaki mencuri, lalu
dikatakannya kepada lelaki tersebut. “Engkau mencuri?” Kata lelaki tersebut ;
“Tidak, demi Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia!” Kata Isa: “Saya percaya
kepada Allah dan saya dustakan mata saya.” (Sahih Bukhary.)
Sama seperti apa
yang dinasihatkan Rasulullah di dalam sebuah hadis mengenai situasi di dalam
peperangan di mana para sahabat bertanyakan kepada baginda, apa yang perlu
mereka lakukan jika musuh mereka yang hampir ditewaskan dan hampir dibunuh itu
mengucapkan persaksian terhadap Allah dan RasulNya? Lalu baginda menyatakan
kepada mereka supaya dihentikan niat untuk membunuh orang tersebut. Lalu, para
sahabat mempersoalkan keimanan yang dipamerkan itu mungkin di atas dasar untuk
melepaskan diri dari terbunuh, tetapi Rasulullah s.a.w. tetap bertegas melarang
mereka membunuh mana-mana musuh yang melakukan persaksian sedemikian. Ia
dinyatakan di dalam sebuah hadis dari Miqdad r.a. :
Dari Miqdad bin Amr al Kindi r.a., dia bertanya kepada Rasulullah s.a.w. "Bagaimana pendapat tuan jika saya menemui seorang dikalangan orang-orang kafir, lalu kami bertempur? Lalu dipukulnya salah satu tangan saya dengan pedang sehingga terputus. Kemudian dia bersembunyi dari saya pada sebatang pohon,lalu dia berkata : "Saya Islam kerana Allah." Bolehkah saya membunuhnya wahai Rasulullah, sesudah dia mengucapkan yang demikian itu?" Rasulullah s.a.w. bersabda : "Jangan engkau bunuh dia!", Kata Miqdad : "Wahai Rasulullah! Dia mengucapkan yang demikian sesudah salah satu tangan saya dipotongnya," Rasulullah s.a.w. bersabda : "Janganlah engkau bunuh! Jika engkau bunuh, maka keadaannya sama dengan keadaan engkau sebelumnya (sebelum Islam) dan keadaan engkau sama dengan dia sebelum dia mengucapkan kalimah yang diucapkannya itu (semasa dia berkeadaan kafir)," (Hadis Riwayat Bukhari)
Begitu juga dengan sebuah hadis yang dicatatkan di dalam Sahih Muslim seperti di bawah ini:
Dari Usamah bin Zaid bin Haritsah
r.a. katanya : “Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami pergi berperang ke
Huraqah, termasuk perkampungan Juhainah. Kami menyerang mereka pada waktu subuh
dan dapat memukul mundur mereka. Aku dan seorang sahabat dari golongan Ansar
dapat mengejar seorang perajurit mereka. Ketika perajurit itu kami todong,
tiba-tiba dia mengucapkan kalimah, “La ilaha illallah” (Tiada Tuhan melainkan
Allah). Sahabatku orang Ansar serta merta menarik senjatanya sedangkan aku
terus sahaja menikamkan panahku kepada perajurit itu sehingga dia tewas. Kata
Usamah melanjutkan, “Ketika kami tiba kembali ke Madinah, berita mengenai peristiwa
itu telah sampai ke pengetahuan Nabi s.a.w.,” Rasulullah s.a.w. bersabda
kepadaku, “Hai Usamah! Kenapa engkau membunuh perajurit itu padahal dia telah
mengucapkan La ilaha illallah?” jawabku, “Dia mengucapkannya kerana hendak
melindungi diri dari senjata aku.” Tanya aku. “Kenapa kamu membunuhnya setelah
dia mengucapkan La ilaha illallah?” Rasulullah sentiasa mengulang-ulangkan
pertanyaan itu sehinggakan aku merasakan bahawa aku belum masuk Islam sebelum
hari itu.” (Hadis Riwayat Muslim).
Saiful Ahmad
Saiful Ahmad
Sambungan ..
No comments:
Post a Comment