Monday, December 31, 2012

Sahabat


Sahabat

Sahabat 
Engkau dalam memoriku
Senyuman nostalgia terus berputar
Bersama detik-detik yang terbatas
kehendak  Agung  yang tak tertolak


Sahabat
Semangat  tetap utuh tak berkurang
Perjuangan membela agama ku teruskan
Membawa hasrat yang kau citakan
Segunung  bara akan ku debukan

Sahabat
Akhirnya aku mengakui
Setiap perjalanan pasti ada halangan
Setiap pertemuan pasti ada perpisahan
Akan ku tempuhi hidup ini demi pengalaman
Akan ku semat iman demiMu Tuhan
Agar aku menjadi semulia insan

 Saiful Ahmad

Terima Kasih




Terima kasih
Atas rasa sudi

Dirimu bak angin pagi
Kami bukan siapa-siapa
Cuma menumpang lembut
segar serta nyaman


Terima kasih
Atas rasa sudi
Dirimu bak  mentari
Sinar terang ke sana-sini
Bukan sekadar bantuan berdiri
Bahkan mencatat ilham seni


Terima kasih

Atas rasa sudi
Seluas langit kesyukuran

Pertemuan dan perpisahan
Perjuangan perlu diteruskan
Mohon hidup sehari lagi



Saiful Ahmad

Sikap marah


Terdapat sebuah cerita menarik yang dikisahkan ramai. Kisah seorang lelaki pemarah. Lelaki itu tidak dapat mengawal kemarahannya walaupun dalam situasi kecil sahaja. Marahnya sukar dibendung. 


        Satu ketika, bapanya menghadiahkan seguni paku. Lantas dengan hairan lelaki itu bertanya kepada ayahnya, "apa gunanya paku-paku ini ayah?"
      Ayahnya dengan tenang menjelaskan, "setiap kali kamu marah, paku tembok batu dihadapan rumah kita dengan paku itu bagi melepaskan kemarahan kamu."
      Pemuda itu mengikut pesanan ayahnya. Hari pertama sahaja pemuda itu sudah memaku sebanyak 37 batang paku di tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, dia dapat mengurangkan rasa marah. Jumlah paku yang digunakan semakin hari semakin berkurang. Akhirnya, dia mendapati, lebih mudah mengawal marah daripada memukul paku yang menembusi tembok batu tersebut.
Akhirnya pemuda tersebut langsung tidak marah walaupun sekali. Dia lantas dengan rasa gembira memaklumkan kepada bapanya. Bapanya terus mengucapkan tahniah dan meminta dia mencabut kembali paku itu satu persatu setiap hari. Hari berganti hari dia berjaya mencabut semua paku di tembok tersebut.
       Selesai tugasannya, dia memaklumkan hal itu kepada ayahnya dengan rasa bangga. Bapanya lantas memimpin tangan lelaki itu menuju ke tembok tersebut dan berkata, "kau melakukannya dengan baik anakku, namun lihatlah kesan lubang di tembok batu tersebut. Tembok itu tidak akan kelihatan sama lagi seperti sebelum ini.
   
 Apabila kamu menyatakan sesuatu atau melakukan sesuatu ketika marah, pasti akan meninggalkan kesan parut dan luka sama seperti di tembok ini. Kamu boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Namun luka itu masih tetap ada. Luka di hati lebih pedih daripada luka fizikal. Insan di sekeliling kita adalah permata yang sukar ditemui.

     Mereka membuatkan kita ketawa dan mendorong kejayaan kita. Sahabat juga mampu menjadi seorang pendengar, berkongsi suka dan duka dan sentiasa membuka hatinya kepada kita.

      Sabda Nabi dalam hadis yang lain: "jauhilah kemarahan kerana marah adalah bara api yang menyala dalam hati anak adam". Lihatlah bagaimana jika seseorang berada dalam keadaan marah. Pasti mukanya tegang. Rasulullah menerangkan: "kemarahan itu daripada syaitan. Sesungguhnya syaitan itu dijadikan daripada api. Api hanya dapat dipadamkan dengan air. Apabila marah dengan seseorang maka ambillah wuduk".

Saiful Ahmad




                                                          

Belajar dari katak pekak



Think positive !

Pada suatu hari ada segerombolan katak-katak kecil yang ingin beradu kekuatan berlumba. Tujuannya adalah mencapai puncak sebuah menara yang sangat tinggi. Penonton berkumpul bersama mengelilingi menara untuk menyaksikan perlumbaan itu dan memberikan semangat kepada para peserta.

Maka perlumbaan pun dimulai.
Secara jujur, tidak satu pun penonton yang benar-benar percaya bahawa katak-katak kecil akan bisa mencapai puncak menara. Terdengar suara, “oh, jalannya terlalu sulitttt!! Mereka tidak akan boleh sampai ke puncak” dan “tidak ada kesempatan untuk berhasil. Menaranya terlalu tinggi!
Katak-katak kecil mulai berjatuhan. Satu persatu. Kecuali mereka yang tetap semangat menaiki menara perlahan-lahan semakin tinggi dan semakin tinggi. Penonton terus bersorak, “terlalu sulit!!! Tak seorangpun akan berhasil!”

Lebih banyak lagi katak kecil lelah dan menyerah.
Tapi ada seekor katak sahaja yang melanjutkan pandakiannya hingga semakin tinggi dan tinggi. Dia belum menyerah! Akhirnya yang lain telah menyerah untuk menaiki menara. Kecuali katak yang satu itu. Katak kecil yang satu itu telah berusaha keras menjadi satu-satunya yang berhasil mencapai puncak.
Semua katak kecil yang lain ingin tahu bagaimana katak ini bisa melakukannya? Seorang peserta bertanya bagaimana cara katak yang berhasil menemukan kekuatan untuk mencapai tujuan? Ternyata, katak yang menjadi pemenang itu sebenarnya pekak. Dia tidak bisa mendengar semua cemuhan dan perkataan negatif dari sekelilingnya. Katak itu, percaya dan yakin pada visinya: menggapai puncak tertinggi dengan tidak mendengarkan segala hal negatif!

Belajar dari katak pekak

apakah ibrah, hikmah dan pengajaran yang dapat kita ambil daripada kisah sang katak yang pekak ini?


Ya, kecacatan yang membawa kepada kesempurnaan! Sang katak yang pekak akhirnya berjaya menawan menara itu ketika katak-katak lain berputus asa kerana mendengar kata-kata peluntur semangat dari penonton yang hadir.


Begitulah juga dengan kehidupan kita. Kadang-kadang kita akan berdepan dengan orang-orang yang akan meruntuhkan semangat kita, yang mempunyai kecenderungan negatif dan akhirnya mereka akan melenyapkan segala mimpi kita. Belajarlah dari sang katak yang pekak, untuk kita cuba memekakkan telinga ketika orang mengatakan kita tidak boleh.


Saiful Ahmad

Adakah menegur ataupun sekadar menyindir.


Setiap manusia yang Allah ciptakan sama sahaja, masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan dan masing-masing mempunyai hati dan perasaan. Adakalanya kita ketawa dan adakalanya kita  sedih dan menangis. Ada juga manusia yang mudah tersinggung dan terasa hati, dan ada juga manusia yang tiada perasaan langsung. Apa yang bezanya di sini ialah bagaimana cara manusia mengawalnya.
Terasa hati? Pernahkah anda terasa hati dengan rakan-rakan anda? Bagaimana ia berlaku? Adakah teguran itu daripada golongan yang lebih baik daripada anda ataupun sebaliknya? Pernahkah anda perhatikan cara teguran mereka? Adakah teguran mereka itu secara nasihat ataupun halus dan berbaur sindiran? Saya sendiri tidak terlepas daripada disindir oleh rakan-rakan. Bukan sekali ataupun dua kali. Tetapi sudah berpuluh kali. Apa yang saya lakukan hanyalah berdiam diri.
Teguran selalunya berlaku dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan. Ia akan terjadi di kalangan orang yang rapat dengan kita. Ada jenis teguran secara nasihat-menasihati dan ada juga jenis teguran secara sindir-menyindir. Yang baiknya ialah menegur dengan cara menasihati, dan yang buruknya ialah menegur secara menyindir. Tetapi, siapakah yang sanggup menegur dengan cara menasihati?
Hanya segelintir sahaja daripada kita yang sanggup menegur secara menasihati. Selebihnya  lebih suka menegur secara halus iaitu dengan cara sindiran. Ini adalah ujian yang sangat berat kepada kita terutamanya kepada golongan yang telah banyak melakukan ibadat seperti wanita-wanita yang bertudung labuh dan menutup aurat juga tidak terlepas daripada perbuatan ini. Adakah mereka sudah merasakan diri mereka sudah mulia ataupun mereka melakukannya secara tidak sedar?
Saya tidak bermaksud ingin mengaibkan sesiapa, tetapi secara pemerhatian yang saya lakukan, kebanyakan daripada rakan-rakan saya boleh dikatakan daripada golongan baik-baik dan selalu menyertai usrah dan berqiamullail, apabila mereka melihat keburukan seseorang, mereka secara tidak langsung lebih suka menyindir dan mengata di belakang.
Tidakkah mereka sayang pada pahala yang mereka kumpul? Tidakkah mereka fikir akan perasaan orang lain terutama daripada golongan yang mudah terasa hati? Daripada hadis riwayat al-Hakim,
"Sebaik-baik sahabat ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya."
Sindiran itu sangatlah tajam yang boleh meresap menusuk ke dasar qalbu (hati) serta mengusik jiwa kita. Perbuatan sindiran inilah yang mengakibatkan kepincangan dalam sesuatu perhubungan yang telah lama terbina dan akibat daripada perbuatan buruk inilah menjadikan kebencian si penyindir membuak-buak apabila isu sensitif di besar-besarkan.
Sindiran ini juga memberi kesan negatif terhadap si penerima sindiran. Berkemungkinan si penerima sindiran pada permulaannya berdiam diri dan memendam perasaannya, tetapi apabila tiba masanya, dia akan menjadi berdendam kepada si penyindir. Pada masa inilah si penerima sindiran akan meluahkan dan mengungkit-ungkit apa yang dipendamnya selama ini.
Pepatah mengatakan, "Lidah itu tidak bertulang" tetapi disebabkan lidahlah membuak-buaknya api permusuhan manusia. Hanya disebabkan satu perkataan sahaja, membuatkan hati yang mendengarnya terluka dan sesuatu ukhuwah yang dijalinkan menjadi berantakan.
Justeru, marilah kita sama-sama mengubah diri kita, mengubah gaya hidup, saling hormat-menghormati hak sesama kita, membudayakan sifat saling nasihat-menasihati, serta menegur dengan cara yang berhikmah agar orang yang ditegur dapat menerimanya dengan hati yang terbuka.

Tetapi, tegur itu biarlah kena pada masa dan tempatnya. Iman Syafie' berkata, "Nasihatilah diriku dikala aku sendirian, janganlah kau menasihatiku ditengah keramaian kerana nasihat di hadapan umum adalah sebahagian dari penghinaan yang tidak suka aku mendengarnya. Jika engkau enggan dan tetap melanggar kata-kataku, maka engkau jangan menyesal jika aku enggan menurutimu." Biarlah kita menegurnya bukan di kalangan ramai orang kerana menegur di tempat ramai orang boleh menjatuhkan air muka seseorang. Kita telah memalukannya di hadapan orang ramai. Apakah perasaan kita apabila kita berada di tempat mereka? Renung-renungkanlah.
"Seorang muslim itu adalah saudara muslim lainnya, dia tidak boleh menzalimi dan menghinanya. Barang siapa yang membantu keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Barang siapa yang melapangkan satu kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan hari kiamat nanti. Dan barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat."
HR. Ibnu Umar Ra. Kitab Sahih Muslim: 4677).
Buangkanlah sifat mencari kesalahan dan menyalahkan orang lain. Tutuplah aib mereka jika kita tidak mahu menampakkan aib kita kepada orang lain. Jika kita berubah untuk menjadi baik kerana Allah, Allah akan menghantar orang-orang baik untuk bersama kita.
Jikalau kita asyik menyindir orang, tidak mustahil juga suatu hari nanti, orang yang kita sindir itu  akan menjadi individu terbaik dan terhebat daripada kita. Pada masa itulah kita akan merasa sangat-sangat bersalah dan kesal di atas perbuatan yang kita lakukan terhadap orang yang kita sindir pada suatu ketika dahulu.

Maafkanlah dengan menerima segala kekurangan yang ada pada mereka. Al-Hasan bin Wahab berkata, "Salah satu hak berteman adalah memberi maaf di atas kesalahan yang terjadi dan tidak mencelanya."  Ingatlah kebaikan orang lain terhadap kita, dan janganlah mengungkit-ungkit kebaikan kita terhadap orang lain. Maafkanlah dan lupakan setiap kesalahan yang orang lakukan terhadap kita. Dengan melupakan kejahatan orang terhadap kita, maka timbullah perasaan kasih sayang yang terpancar dalam diri dan akan menarik perhatian orang untuk menyayangi kita.

Saiful Ahmad

Sunday, December 30, 2012

Penyakit 'isti'jal


Salamullah'alaikum .. Sedikit perkongsian ..

          

          Antara penyakit yang sering menimpa aktivis dakwah ialah 'isti'jal' (استعجال). 

Menurut bahasa maknanya ialah : menuntut sesuatu dikerjakan atau diselesaikan dengan cepat atau segera. Manakala mengikut istilah dakwah ialah : mengubah keadaan atau realiti kehidupan kaum muslimin dalam waktu sekejap atau sekelip mata tanpa mempedulikan situasi, keadaan, akibat serta tanpa persiapan yang matang dari segi 'uslub' dan 'wasilah'nya. Akhirnya tiada apa yang terkesan kepada khalayak .

Antara puncanya :

1) Dorongan Nafsu yang sudah menjadi tabiat dalam diri manusia.

2) Semangat berkobar-kobar yang tidak terkawal.

3) Desakan waktu/masa yang dirasakan berlalu terlalu pantas dan singkat.

4) Perancangan daripada musuh-musuh Islam seperti Israel dll.

5) Kurang arif tentang taktik musuh Islam.

6) Tidak tahu cara mengubah kemungkaran yang makin berleluasa.

7) Tidak sabar/mampu menanggung beban dan penderitaan.

8) Terlalu yakin dengan sedikit persiapan dan kelebihan tanpa memikirkan akibatnya terutamanya dalam menghadapi penyelewengan para pemimpin.

9) Tiada program yang ampuh untuk mengendalikan potensi yang ada seperti kurang komited dengan amalan harian dsb.

10) Bekerja/amal dakwah dengan tidak merujuk kepada mereka yang lebih arif dan berpengalaman.

11) Lupa kepada 'sunnatullah' di alam semesta terutamanya berkaitan 'nafs' dan 'syariat'.

12) Melupakan matlamat asal dakwah iaitu mencapai 'mardhotillah' (keredhaan Allah).

13) Lupa 'sunnatullah' kepada orang yang zalim iaitu Allah tidak terburu-buru menghukum dan menyeksa mereka.

14) Bersahabat dengan orang yang biasanya 'isti'jal' (terburu-buru) dan bertindak sesuka hatinya.

*Petikan dari buku 'Penyakit Umat Islam : Kaedah dan Cara Pengubatannya' terjemahan Dr. Sayid Muhammad Nuh..


Saiful Ahmad

Hayati Al-Quran





DIAM DAN KHUSYUKLAH
MENDENGAR BACAAN AL-QURAN

Assalamu’alaikum dan salam satu Aqidah kepada semua, khususnya para da'ie seperjuangan moga dirahmati Allah. Semoga setiap saat masa yang digunakan untuk membaca halaman perkongsian ilmu ini dapat memberi kesan kerohanian dan mendapat ganjaran kebaikan di sisi Allah.

Lapangkanlah sedikit masa daripada 24 jam yang Allah pinjamkan seharian kepada kita untuk membaca al-Quran, ataupun sekurang-kurangnya kita mencari peluang untuk mendengar bacaan al-Quran, tenangkanlah hati kita dengan mendengar bacaan al-Quran. Semoga dengan sedikit usaha yang kita lakukan itu boleh membawa kepada keredhaan Allah seterusnya muncul ketenangan di dalam jiwa dan menimbuhkan rasa kebahgiaan, kedamaian serta keyakinan yang teguh kepada kebesaran Allah s.w.t .

Baginda Rasulullah s.a.w sendiri sangat senang mendengar al-Quran dibacakan oleh orang lain, kerana hati Baginda mudah tersentuh lebih-lebih lagi dengan mendengar bacaan para sahabat yang sesuai dengan kaedah tajwid beserta suara yang merdu. Baginda selalu meminta para sahabat untuk memperdengarkan bacaan al-Quran untuknya. Begitu juga apabila al-Quran diturunkan, Baginda merasa bahagia dan  tenang hatinya. Kepelbagaian masalah hidup, kegelisahan dengan pengaruh persekitaran tidak sihat berkemungkinan boleh menggoyahkan keimanan kita. Dalam keadaan seperti itu insyaAllah ketenangan hanya kita perolehi di dalam Kitab Allah serta zikir kepada-NYA.

Maksudnya: "(Iaitu) orang-orang Yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan zikrullah". ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.

(Surah Ar-Ra’d :28)

Suatu kisah ingin saya kongsikan, yang mana pada suatu hari Baginda Rasulullah s.a.w meminta Abdullah bin Mas’ud untuk membaca ayat dari surah an-Nisa’. Sebaik sahaja ayat-ayat itu dibacakan, Baginda Rasulullah s.a.w sudah mula menangis hingga air mata Baginda membasahi pipinya. “cukup, cukup buat masa ini” pinta Baginda kepada sahabatnya Abdullah bin Mas’ud supaya menghentikan bacaannya.

Dalam diri Baginda sememangnya terdapat teladan yang baik, contohilah amalan Baginda. Moga kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang dalam kerugian dengan menjadikan siang dan mala tanpa membaca atau mendengar Kalam Allah wlaupun sedikit, insyaAllah walaupun hanya mendengar sahaja, moga ia tetap dinilai di sisi Allah.

Sekian sahaja perkongsian buat kali ini, moga kita mendapat sedikit manfaat bersama dari secebis nukilan di atas. Perlu kita  ingat juga pelajar cemerlang, adalah juga mereka yang cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat, wallahua’lam  wassalam.


Saiful Ahmad

Buat Dai'e - Permulaan


PERJUANGAN DITERUSKAN, KEHIDUPAN DIHAYATI


~::Assalamu`alaikum, Bismillah walhamdulillah::~
Terlebih dahulu saya ingin mengajak sahabat-sahabat, khususnya para da`ie di luar sana, untuk sentiasa bersyukur tidak terhingga pada Ilahi, yang telah menambah usia kepada kita dari hari ke hari dengan terus selesa bernafas serta sihat wal`afiat. Terima kasih juga di atas peluang dan ruang yang diberi kepada saya untuk mencoret sedikit perkongsian.
Dengan tajuk perjuangan diteruskan, kehidupan dihayati. Ada beberapa perkara yang ingin saya sampaikan samaada secara tersurat dan tersirat. Sahabat-sahabat, antara sedar atau tidak sudah  lebih 1400 tahun Nabi Muhammad meninggalkan kita. Sesuai juga andai saya katakan, antara sedar atau tidak kita kini makin jauh meninggalkan sunnah dan perjuangan  Baginda.  Nikmat atau ujian yang diutuskan kepada kita, boleh membuktikan adakah kita tergolong dalam mereka yang tetap meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w atau sebaliknya. Berapa ramai saudara islam kita di luar sana yang kini hanyut dalam sandiwara dunia, bergelumang dosa dan taksub dengan ajakan nafsu. Mereka memerlukan bimbingan, dan kita tidak perlu bermimpi di siang hari untuk mengharapkan diutusnya seorang Nabi bagi menyedarkan mereka, kerana telah jelas dalil Nabi Muhammad adalah khataman nabiyyin iaitu penutup kepada Nabi-Nabi. Justeru itu sedarlah sahabat-sahabat bangkitlah dari lena yang panjang, bangun dan berdirilah bersama-sama mereka yang sentiasa mencari peluang berusaha meneruskan perjuangan Rasulullah.
Tidak saya nafikan mengajak manusia untuk mengenali Allah tidak sama dengan mengajak manusia untuk percaya pada Allah. Hari ini kalau di tanya pada saudara Islam kita yang bergelumang dengan maksiat sekalipun, apakah mereka tahu dan percaya adanya Allah, tentu mereka akan menjawab kami tahu dan percaya. Tetapi apa yang mereka lakukan seolah-olah Allah sudah tidak ada dalam kehidupan mereka. Mereka tidak merasakan peranan Allah di dalam kehidupan atau dengan kata lain tidak patuh kepada suruhan serta larangan Allah. Pada perasaan mereka sama sahaja samaada Allah itu ada ataupun tiada. Sedangkan Allah itu  Maha Berkuasa, Menghidupkan, Mematikan, Menghukum, Mendengar, Melihat, yang memberikan nikmat, yang menurunkan rahmat, yang mewujudkan apa saja di dunia ini mahupun di akhirat kelak, tidak ada satu perkara hatta sebutir debu sekalipun yang wujud tanpa pengetahuan Allah.
Kita perlu sentiasa berusaha mengajak mereka yang dalam kegelapan untuk sedar dan kembali ke jalan yang benar, antara penyelesaian yang perlu di ambil serius adalah pendedahan tentang ilmu aqidah dengan lebih meluas. Sejarah perjuangan Rasulullah yang mungkin kita terlepas pandang, Baginda mengambil masa selama 13 tahun untuk menanamkan iman dan tauhid, dengan kata lain Allah yang Esa itu diperkenalkan terlebih dahulu kepada umat Arab Jahiliah. Banyak program atau aktiviti yang telah kita lakukan, selalunya  kita mulakan dengan pendedahan mengenai syariat terlebih dahulu, sedangkan dengan cara  ini, mereka yang baru atau ingin kembali menerima Islam, dapat saya tafsirkan, bukan lagi terima atau kembali secara sukarela tetapi lebih kepada terpaksa, ini kerana mereka telah terikat dengan peraturan halal, haram dll. Contoh solat, kita perlu menanam dalam jiwa anak-anak tentang kepada siapa dan kenapa kita solat, kemudian barulah kita mengajar tentang bagaimana cara, mengenai sah serta batal solat dan sebagainya, wallahua`lam.
Walaubagaimanapun dalam apa jua keadaan  kita perlu sabar dan tidak berputus asa dengan halangan-halangan yang sedikit berbanding apa yang di lalui oleh Rasulullah. Baginda memulakan perjuangan dakwah di kala ramai manusia tidak tahu dan tidak percaya tentang kewujudan Allah, Baginda  mengenalkan bahawa Allah adalah Tuhan manusia. Sebelum itu orang tidak kenal akhirat, tidak mengetahui tentang  malaikat, syurga, neraka, dll, maka Rasulullah s.a.w datang untuk mengenalkannya kepada manusia, dan  Rasulullah telah berjaya menanamkan aqidah serta penghayatan kehidupan yang begitu mantap di hati para sahabat sehingga bangsa arab jahiliah berubah dan dipilih oleh Allah untuk tugasan mengembangkan serta  membina empayar Islam pada kali pertama.
Kita juga perlu yakin dalam menjadikan al-Quran dan Sunnah Rasulullah sebagai pegangan, sebagaimana sabda Baginda:
(تركت فيكم أمرين ما إن تمسكتم بهما لن تضلوا أبدا كتاب الله وسنة رسوله)
Maksudnya: “Ku tinggalkan untuk kamu dua perkara (pusaka), tidaklah kamu akan tersesat selama-lamanya, selagi kamu masih berpegang kepada keduanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.



Akhir kalam, moga ada sedikit kesedaran pada saya dalam menulis artikel ini dan juga kepada sahabat-sahabat yang sudi meluangkan masa membaca. Kita perlu yakin dengan janji-Nya tentang kebangkitan umat islam buat kali kedua, namun usaha yang perlu dilakukan saya percaya tiada jalan lain bagi umat Islam, selain bermula daripada mempertingkatkan lagi usaha dalam mendedahkan serta menanamkan penghayatan aqidah kepada umat sejagat, bukan sekadar hafalan  ilmu, tetapi penghayatan aqidah yang benar-benar  meresap kedalam hati, hingga lahirnya cinta dan taqwa  pada Allah secara luar biasa. Itulah yang dapat menjadi pemangkin utama kepada umat Islam dalam membangunkan ummah untuk kali kedua. Segala yang baik adalah ilham dari Allah s.w.t , segala kelemahan dari diri yang dhaif ini. Selamat beramal.

~::Kalaulah Rasulullah Masih Bersama-sama Kita::~


=== sekian ===
Saiful Ahmad

Penyuntik Semangat


Dalam Kamar Sakti

Dia setia di dalam itu
Mungkin kerabat, pastinya sahabat
Dalam tenang menanti
Yang menjadi pengubat sakti
Juru selamat segenap cahaya
           
Dia setia di dalam itu
            Berbisik-bisik kedengaran luahan
Perlahan menjernih kenangan laluku
Dari dunia tanah kontang

Dia setia di dalam itu
Di sebalik dinding sepi yang membakar
Bagaikan beku nadi waktu
Dan detik jarum yang gelisah kecapaian
            Dia setia di dalam itu
            Adalah penasihat yang melambai di waktu kini

Saiful Ahmad